Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima anugerah Bumiputera Business Excellence Awards (BBEA) yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar di Hotel Shangri La.
Siti berkongsi berita gembira itu di laman Instagram miliknya selepas menerima Anugerah Celebrity Entreprenuer Of The Year (Kecantikan & Kesihatan), hari ini.
Dalam hantaran tersebut, Siti berkata penganugerahan itu juga menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus memberikan yang terbaik dalam bidang perniagaan.
Anugerah ini adalah penyuntik semangat saya untuk terus berusaha memberikan yang terbaik sama ada dalam bidang perniagaan dan juga hiburan.
Penyanyi lagu Kuasa Cintamu itu turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
Terima kasih saya ucapkan kepada penganjur BBEA di atas pemberian anugerah ini. Setinggi-tinggi tahniah juga buat tulang belakang saya terutama sekali suami dan keluarga tercinta serta peminat saya.
Hantaran itu turut dikongsikan bersama dua keping gambar Siti ketika menerima anugerah di acara itu.