Pelakon dan penyanyi legenda, Noor Kumalasari, 69, meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap kakaknya, Anita Sarawak, yang didakwa masih tidak dapat dikesan sejak pulang ke Amerika Syarikat secara mengejut pada tahun 2011.
Dalam temu bual bersama media, Noor meluahkan isi hati terhadap hubungan adik-beradik yang sekian lama terputus. Suaranya bergetar apabila mengenangkan memori manis bersama kakaknya yang juga ikon seni tanah air.
Saya betul-betul rindukan kamu dari lubuk hati ini.
Katanya lagi, sudah terlalu lama mereka tidak duduk berbual panjang, ketawa bersama, dan menikmati saat penuh keakraban seperti suatu ketika dahulu.
“Sudah berapa lama kita tidak bercerita panjang, ketawa dan faham antara satu sama lain, seperti waktu dulu.”
“Noor cukup rindukan detik di mana kita berdua boleh ketawa, berkongsi cerita lucu dan kisah peribadi. Noor harap kita dapat berjumpa.”
Mengimbas kembali detik-detik perpisahan, Noor mendedahkan bahawa kepulangan Anita ke Amerika dilakukan secara tiba-tiba, tanpa pengetahuan atau makluman kepadanya.
“Anita pergi mendadak. Ketika saya hubungi salah seorang kakak kami, dia beritahu, mereka sudah hantar Anita pulang,” katanya dengan nada sebak.
Bagi mengubat kerinduan yang terpendam, Noor sering memasak juadah kegemaran Anita iaitu ayam adobo – seolah-olah satu cara untuk menghidupkan kembali memori bersama kakaknya itu.
Sebelum mengakhiri sesi temu bual, wartawan sempat bertanya mengenai kerinduan peminat terhadap dirinya. Noor, yang pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-31, mengakui masih mengikuti perkembangan dan komen para peminat yang tidak pernah jemu mendoakannya.
“Bagi saya berlakon dan menyanyi adalah kenangan manis. Saya tidak akan buka balik buku lama dengan izin Allah.” ujarnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.