Baru-baru ini satu iklan billboard oleh syarikat perkhidmatan pengangkutan popular, Grab tular di media sosial dan menjadi perbualan hangat semua netizen.
Menerusi iklan tersebut, Grab ingin mempromosikan perkhidmatan penghantaran makanan atau ‘GrabFood’ mereka yang boleh memudahkan para isteri dan ibu yang bekerjaya.
Dalam iklan berkenaan, mereka menggunakan ayat seperti ini:
“Dalam era Malaysia baru, ibu ada pilihan untuk tidak masak”.
Kenyataan itu mengundang ‘perdebatan’ dalam kalangan netizen apabila seorang lelaki memuat naik satu tweet yang mengatakan lelaki haruslah memilih isteri dari era Malaysia lama kerana kalau mereka memilih isteri dari era Malaysia baru, GrabFood yang akan menjadi ‘isteri’ mereka.
Dalam erti kata lain para netizen wanita menganggap seperti lelaki tersebut memerli wanita zaman kini yang tidak pandai memasak atau tiada masa untuk menyediakan juadah untuk keluarga.
Akibat tweet tersebut, ramai wanita yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu lalu ‘meluahkan perasaan’ mereka dengan membalas komen-komen yang boleh ‘menyakitkan’ hati lelaki.
Bagi mereka sebagai wanita yang bekerjaya, pendapat tersebut sangat tidak relevan lagi pada masa sekarang. Mereka bekerja untuk meringankan beban suami dan menunjukkan yang wanita boleh berdikari.
Bukan itu sahaja, ‘geng’ wanita ini turut berkata para suami perlulah menjadi lebih rajin dan ringan tulang membantu isteri, bukan hanya memberi arahan dan membiarkan isteri buat semua kerja sendiri.




