Melalui laporan Harian Metro, sebanyak RM277 bilion hilang ‘sekelip mata’ susulan rasuah yang berterusan berlaku di dalam Malaysia.
Difahamkan jumlah tersebut bukanlah rekaan, tetapi angka berkenaan dikemukan sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berdasarkan kerugian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dari tahun 2018 hingga 2023.
Hilang RM55 bilion setiap tahun
Secara purata, Malaysia dikatakan telah hilang sebanyak RM55 bilion untuk setiap tahun susulan korupsi.
Menurut Azam, jenayah rasuah kini semakin licik dan sukar dikesan, menyamar di sebalik sistem yang kononnya sah.
Ia menggunakan pelbagai istilah seperti kos operasi, yuran perunding, perbelanjaan hiburan, dan lain-lain label yang kelihatan “profesional” di atas kertas, namun hakikatnya, ia menyembunyikan transaksi gelap yang berpotensi meruntuhkan integriti sistem kewangan negara.
Rasuah bersembunyi di sebalik lapisan transaksi
Wang haram tersebut mengalir melalui beberapa lapisan transaksi, membuatkan begitu sukar untuk dikesan jejak asalnya dan ini bukan sekadar masalah penipuan akaun semata-mata.
Ia merupakan satu bentuk struktur jenayah kewangan yang secara halus memanipulasi sistem yang sepatutnya menjadi benteng integriti negara.
Taktik-taktik kotor ini berlaku dalam sistem perakaunan dan pengauditan yang sah di sisi undang-undang, malah dalam banyak-banyak kes, ia melibatkan mereka yang diberi amanah untuk menjaga wang negara dan syarikat.
Sistem perakaunan yang menjadi ‘Pak Turut’ kepada perasuah
Azam memberi amaran bahawa apabila sistem ini dikendalikan oleh individu yang lemah integriti, ia bukan sahaja gagal untuk bertindak sebagai penjaga (gatekeeper), tetapi boleh bertukar menjadi alat yang melindungi perbuatan jenayah.
Dalam bahasa yang lebih keras, sistem itu sendiri boleh menjadi ‘pak turut’ kepada perasuah dan memberi peluang kepada mereka untuk terus beroperasi, tanpa sebarang gangguan.
Lebih mengejutkan, kajian yang dilakukan oleh EMIR Research pada tahun 2023 mencatatkan angka kerugian yang jauh lebih besar.
Berdasarkan analisis terhadap pelbagai sumber data terbuka, jumlah kerugian akibat rasuah dan penyelewengan yang berlaku antara tahun 1997 hingga 2022 dianggarkan mencecah RM4.5 trilion.