Peminat semakin berdebar-debar dan tidak sabar menanti, ditambah pula dengan dakwaan mengatakan pelakon Fattah Amin sudah menempah dewan dan dikatakan bakal bernikah tidak lama lagi.
Meski tidak membuat apa-apa pengakuan sebelum ini namun pelakon berkenaan sering dikaitkan dengan penyanyi Amira Othman yang digelarnya ‘rakan sekerja’.
Disebabkan itu, video yang memaparkan pelantun lagu Dalam Sujudku itu anggun memakai serba putih dilengkapi dengan solekan menawan membuatkan penyanyi tersebut mencuri perhatian ramai.
Sudah tentu persalinan serba putih akan sering dikaitkan dengan hari bahagia atau pernikahan dan Amira juga tidak terlepas daripada menerima komen usikan sebegitu.
Penampilan penyanyi berusia 32 tahun itu dipuji cantik dan dikatakan berseri-seri membuatkan peminat mengusiknya mengatakan seolah-olah hari bahagia bakal tiba tidak lama lagi.
Video itu dikongsikan oleh jurumekap dikenali sebagai Aus namun difahamkan telah dipadam daripada akaun TikTok selepas ia tular.
Terdahulu, pengurus kepada Fattah iaitu Sakirin Aca memberi respon terhadap desas desus pernikahan itu dan berkata pihaknya tidak akan merahsiakan sebarang berita baik melibatkan aktor berkenaan.