Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang sejak 24 Ogos, Laskar Udara Kanan Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, akhirnya ditemui di sebuah unit kondominium di Ampang Jaya sekitar jam 1.30 petang semalam, memetik Berita Harian.
Muhammad Ammar dikatakan bertindak begitu kerana takut selepas terbabit kemalangan kecil dengan kenderaan seorang pegawai tentera di Subang pada malam 22 Ogos lalu.
Kenderaan dipandunya melanggar belakang kereta pegawai terbabit, namun dia tidak membuat laporan dan ‘melarikan diri’. Pegawai itu bagaimanapun berjaya menghubunginya melalui nombor plat kereta.
Keluarga Muhammad Ammar tidak dapat menghubunginya sejak 24 Ogos dan membuat dua laporan polis keesokan harinya.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, memaklumkan anggota TUDM itu ditemui bersama teman wanitanya di bilik unit kondominium milik wanita berkenaan, hasil pemeriksaan polis IPD Serdang berdasarkan maklumat yang diterima.
Menurut siasatan, Muhammad Ammar yang bertugas di Pangkalan Udara Subang terakhir dilihat di Sungai Kedondong pada 23 Ogos kira-kira jam 4.30 petang. Pada 24 Ogos jam 6 petang, rakan sebilik cuba menghubunginya tetapi mendapati telefon bimbitnya dimatikan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.