Aktivis kemanusiaan dan pelakon, Hazwani Helmi tampil menjelaskan isu penggunaan telefon pintar berjenama iPhone ketika menghadiri malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37) baru-baru ini, susulan kecaman yang diterimanya daripada warganet.
Menerusi sebuah video yang dimuat naik semula, Hazwani atau nama lengkapnya Nur Hazwani Afiqah Helmi, 28, memaklumkan bahawa telefon pintar berkenaan merupakan pemberian daripada seseorang dan tidak menyangka penggunaannya mencetuskan perdebatan besar.
Sebenarnya iPhone itu adalah pemberian orang dan saya tidak menyangka ia menjadi isu yang besar. Tujuan saya memakainya adalah untuk meraikan.
Menurut Hazwani, pemilihan peranti tersebut dibuat atas faktor teknikal, khususnya keupayaan perisian dan kapasiti memori yang memudahkan proses penghasilan kandungan video.
Telefon tersebut mempunyai ruang penyimpanan yang lebih besar. Saya menyunting semua video sendiri, jadi ia memudahkan urusan memuat naik hantaran dan kerja-kerja suntingan.

Kalau ada perisian sebagus ini semestinya saya akan memilih produk lokal atau telefon lain berbanding dengan telefon ini..
Mengulas lanjut, adik kepada selebriti Heliza Helmi itu turut menyentuh isu sumbangan dana kepada rejim Israel yang menurutnya tidak hanya melibatkan satu jenama semata-mata, sebaliknya berkemungkinan membabitkan pelbagai syarikat dan entiti lain.
Apa yang terbaharu ingin saya kongsikan, sistem android juga merupakan antara penyumbang besar, dianggarkan sekitar 70 peratus.
Beliau menegaskan perkara tersebut tidak wajar dibuat kesimpulan secara tergesa-gesa dan memerlukan penelitian lebih mendalam.
Terdahulu, Hazwani menerima kecaman warganet selepas dilihat menggunakan iPhone model terbaharu ketika menghadiri majlis ABPBH37, dengan sebahagian pihak mempersoalkan tindakannya yang didakwa tidak selari dengan penglibatannya dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, susulan jenama telefon berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan sumbangan kepada Israel.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

