Tahun 2020 memberikan cabaran yang dahsyat kepada barisan pemimpin dan rakyat Malaysia. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru sahaja dilantik memaksa beliau untuk menghadapi pelbagai krisis yang menguji kepimpinan beliau sebagai orang di barisan paling hadapan negara.
Ancaman dari dalam dan luar negara meletakkan posisi Tan Sri Muhyiddin Yassin di tahap paling tertekan setelah mengambil alih jawatan Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri bersama barisan menteri kabinet perlu menangani pelbagai ancaman domestik negara. Termasuklah juga krisis pandemik COVID-19 yang menggugat kesihatan rakyat, ketidaktentuan politik negara, ancaman pendatang tanpa izin dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Gangguan di Laut China Selatan
Baru-baru ini, China muncul dengan membuat gangguan dan melanggar wilayah kelautan Malaysia di Laut China Selatan. Ancaman yang diberikan oleh China sebenarnya mampu menggugat kedaulatan dan kelangsungan negara.
Negara jiran seperti Vietnam, Filipina, Brunei dan Indonesia juga terpaksa menerima tempias tindakan yang dilakukan oleh China.
Hampir 80 peratus wilayah kelautan di Laut China Selatan dituntut oleh China sebagai kawasan wilayah mereka.
Tuntutan yang dibuat tidak disandarkan pada asas yang munasabah. China membuat tuntutan berdasarkan fakta sejarah aktiviti nelayan tradisional China yang menangkap ikan di Laut China Selatan.
Baca: Bagaimana Malaysia Tersepit Diantara Pertembungan China Dan USA Di Laut China Selatan Ketika Ini
Dipercayai China bercita-cita untuk muncul sebagai kuasa besar antarabangsa dengan mendapat penguasaan laluan stategik perdagangan seperti Laut China Selatan. Menerusi keputusan Tribunal Timbang Tara Tetap (PCA) di The Hague, Belanda tuntutan China terhadap 80 peratus Laut China Selatan telah terbatal dan tidak sah.
Amerika Syarikat tidak akan membiarkan China berhasil mendapat tuntutan tersebut. Asia Tenggara adalah rantau yang cukup bermakna kepada Amerika Syarikat sendiri lantas hadir ke rantau ini untuk mempertahankan kepentingannya daripada diganggu China.
Perintah Kawalan Pergerakan
Keadaan sekarang memerlukan kebijaksanaan daripada kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Luar Negeri untuk mengurangkan ancaman yang bakal diterima. Malaysia berada pada situasi didesak dengan pelbagai ancaman keselamatan.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah meletakkan ekonomi negara sedikit merudum. Sumbangan ekonomi negara pada tempoh tersebut tidak dapat dijalankan kerana pemberhentian sementara operasi peniagaan, perdagangan dan perkhidmatan. PKP tetap juga dijalankan dengan mengambil kira isu kesihatan rakyat Malaysia.
Pelarian Rohingya
Kebelakangan ini, timbul pula isu pelarian Rohingya yang menyemarakkan lagi perasaan kebencian terhadap etnik ini. Rakyat bimbang sekiranya kemasukkan pelarian ini akan meningkatkan lagi penyebaran wabak bahaya ini.
Bimbang sekiranya perkara yang melibatkan sentimen perkauman ini tidak dibendung akan bertukar kepada tindakan extreme oleh sebahagian rakyat yang sudah hilang sabar dengan warga asing ini.
Pihak kerajaan perlu merancang sebuah tindakan yang berkesan untuk menangani perkara ini ketika negara masih bergelut untuk memerangi wabak COVID-19.
Penggunaan dasar ‘hedging’ yang dilakukan oleh negara sejak dahulu lagi menyebabkan kedaulatan dan kepentingan negara terus terjaga. Dasar ini juga akan dapat mendepani ancaman China yang boleh memberi kesan terhadap kedaulatan negara.
Malaysia harus menggunakan platform ASEAN sebaik mungkin untuk menggesa kerajaan Myanmar sekali gus bertanggungjawab terhadap pelarian Rohingya. ASEAN juga turut perlu bekerjasama dalam menangani pencerobohan dan tuntutan China di wilayah Laut China Selatan.
Rakyat Malaysia juga perlu sentiasa kekal tenang dan tidak sewenangnya termakan dengan provokasi yang dilemparkan. Itu merupakan asas kukuh untuk meraih kemenangan negara ketika berhadapan dengan ‘peperangan’ mempertahankan keharmonian Malaysia.