Penyanyi rap yang baru sahaja bergelar suami, Caprice akhirnya tidak dapat menahan diri untuk bersuara setelah isteri kesayangan, Farra Inalis dikecam netizen gara-gara membiarkan anaknya Aleesya Sofea bergurau kasar dengan bapa tiri.
Ujar Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, berkata dia susah hati melihat isterinya itu menangis akibat dikecam netizen di mana ada yang menganggap Aleesya sebagai seorang yang tidak beradab.
Kata Caprice, Aleesya hanya berusia lima tahun dan insiden video ‘bermain kepala’ seperti yang tular di media sosial baru-baru ini bukanlah disebabkan Farra tidak pernah menegur sikap anaknya itu.
Bukan salah isteri saya guys. Dia selalu tegur adik (Aleesya) bila main kasar dengan saya. Tapi saya yang biarkan adik berkelakuan begitu.
Ujar penyanyi lagu Baby Sayang ini lagi, netizen boleh mengkritik dia dan isteri namun tidak sepatutnya mengecam Aleesya yang baru sahaja mencecah usia lima tahun.
“Insya-Allah walaupun baru je jadi ayah. Saya akan buat yang terbaik untuk didik dia dan mengajarnya tentang kehidupan.” tulisnya lagi.
Terdahulu, tular video yang memaparkan Caprice tenang melayan anak tirinya itu bermain di bahu dan kepalanya ketika sedang bekerja.
Video tersebut telah mendapat pelbagai respon daripada warga maya malah ada sesetengah yang merasakan tindakan Aleesya sebagai ‘kurang ajar’.