Anak sulung kepada enam beranak yang meninggal dunia dalam tragedi Terusan Sungai Korok memperoleh keputusan cemerlang Peperiksaan Pertengahan Tahun Darjah Enam baru-baru ini.
Menurut laporan, Putri Qisya Nur Izzat, 12, mendapat keputusan 7A daripada 12 subjek dan berjaya menduduki tempat pertama di dalam kelasnya.
Keputusan A yang diperolehnya adalah bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Jawi, Muzik, Pendidikan Jasmani dan Seni Visual.
Terdahulu, Putri Qisya yang baru memulakan sesi persekolah sejak dua hari lalu selepas tragedi menyedihkan awal Julai gembira berkongsi keputusan itu kepada keluarga sebaik pulang dari sekolah.
Kata ibu saudaranya, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, tumpuan keluarga kini adalah untuk membantu anak saudaranya itu membaiki keputusan subjek utama seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memastikan impian Putri Qisya melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tercapai.
Dia memang budak dalam kategori pandai, mungkin ada subjek yang dia kurang minat di samping aktif aktiviti kokurikulum di sekolah menyebabkannya tidak sempat belajar.
Tambahnya, keluarga bersyukur apabila mereka menerima tawaran tuisyen secara percuma dalam talian selama setahun. Putri Qisya juga turut mendapat sumbangan sebuah komputer riba daripada Fast Track Academy Pulau Pinang.