Anak & Staf Klinik Positif Difteria, Setelah Merawat Pesakit. Simptom Makin Membimbangkan?

Trending

Anak & Staf Klinik Positif Difteria, Setelah Merawat Pesakit. Simptom Makin Membimbangkan?

Enam lagi pesakit di Negeri Sembilan didapati positif difteria termasuk dua kanak-kanak berusia lapan dan 12 tahun. Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Abdul Rahim Abdullah berkata empat pesakit merupakan anak kepada pesakit kes pertama iaitu seorang suri rumah berusia 41 tahun dari Kg Durian Daun, Rembau.

Advertisement

“Anak pesakit yang berusia 15 tahun dimasukkan ke Wad Isolasi Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) pada Isnin lepas, manakala tiga lagi yang berusia lapan, 12 dan 21 tahun dimasukkan ke Wad Isolasi HTJ semalam.

“Dua lagi yang positif difteria merupakan staf Klinik Kesihatan Rembau yang merawat pesakit sebelum ini,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata seorang kakitangan wanita berusia 50 tahun dimasukkan ke Hospital Tampin pagi tadi dan seorang lagi kakitangan lelaki berusia 28 tahun dikuarantin di rumahnya.

Dr Abdul Rahim berkata kesemua tujuh pesakit berkenaan dalam keadaan stabil.

“Hasil pemantauan dan pemeriksaan ke atas ahli keluarga pesakit yang lain dan penduduk setempat, mendapati mereka tidak menunjukkan tanda-tanda difteria.

“Walau bagaimanapun, pemantauan masih berterusan kerana virus difteria mudah merebak terutamanya melalui titisan udara, batuk dan perkongsian alatan yang sama,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan difteria seperti pernah berhubung dengan pesakit, demam, suara serak, sakit tekak dan bengkak dalam kerongkong.

“Jumpa doktor dengan segera kerana rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa pesakit dan dapat mengawal penyakit ini daripada merebak meluas.

“Kebimbangan kita ialah kanak-kanak dan bayi yang belum lengkap imunisasi kerana mereka kurang ketahanan antibodi untuk melawan penyakit ini,” katanya.

Dr Abdul Rahim berkata kesemua anak pesakit mendapat imunisasi yang lengkap.

Beliau turut menasihati ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka mendapat suntikan imunisasi yang lengkap dan pihaknya juga kini sedang giat mengesan kanak-kanak yang tercicir daripada program imunisasi.

“Daripada data yang kita ada, hanya dua peratus kanak-kanak di negeri ini tidak mendapat imunisasi yang lengkap dan bagi ibu bapa yang menolak untuk menvaksinkan anak mereka, kita akan memberi kaunseling kepada mereka,” katanya.

Bagi difteria, katanya vaksin diberi percuma di hospital dan klinik kerajaan dan ibu bapa perlu memastikan anak mereka di bawah umur tujuh tahun mendapat imunisasi 5-serangkai yang lengkap bagi memberi perlindungan optimum dan mengelak daripada mendapat jangkitan.

Dengan kes terbaru itu, jumlah kes difteria di negara ini kini adalah sebanyak 21 kes, termasuk lima kematian iaitu di Melaka (tiga kes, satu kematian), Kedah (tujuh kes, satu kematian), Sabah (empat kes, tiga kematian) dan Negeri Sembilan tujuh kes.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...