Anak seorang penyanyi tempatan merupakan antara enam individu yang telah ditahan disyaki terbabit dalam kes kecurian sebuah Ferrari yang ditinggalkan di pusat cuci kereta di Hulu Klang 17 November lalu.
Memetik dari Buletin TV3, mangsa meninggalkan kenderaan mewah berwarna merah itu di premis terbabit beberapa hari lalu sebelum kejadian itu berlaku.
Mangsa mendakwa meminta seorang pekerjanya menghantar kereta terbabit untuk dicuci beberapa hari sebelum itu.
Pada 11 pagi, 17 November mangsa menyedari kereta berkenaan sudah hilang disyaki dicuri lalu membuat laporan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata kejadian itu membabitkan seorang ahli perniagaan berusia 50-an.
Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ampang Jaya telah berjaya menahan empat suspek lelaki berusia lingkungan 23 hingga 33 tahun di sekitar Ampang dan satu lagi tangkapan susulan dilakukan pada 20 November yang membabitkan seorang suspek lelaki berusia 38 tahun.
Hasil soal siasatan, polis menemukan semula kereta Ferrari berkenaan di kawasan parkir sebuah apartment di Taman Tunku, Kuala Lumpur pada 23 November.
Susulan itu, seorang wanita tempatan berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut 379 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, seorang suspek mempunyai dua rekod kesalahan dadah dan hasil ujian dadah ke atasnya mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek yang lain tiada rekod lampau.
Polis juga turut merampas lapan telefon pintar dan empat buah kereta jenis Ferrari, Naza Suria, BMW XS dan BMW.
Tiga orang suspek telah diberi jamin manakala dua orang suspek direman sehingga 27 November 2024 dan satu orang suspek lagi sehingga 3 Disember 2024.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.