Ibu mana yang tak sedih apabila anak kesayangan pergi menghadap Ilahi, tetapi makin hiba apabila ada yang tergamak meninggalkan komen tidak sensitif terhadap orang yang sudah tiada.
Ibu kepada Allahyarham Sandra Dianne iaitu Nur Syakinah Abdullah meluahkan rasa terkilan dengan komen seorang individu yang mengatakan kematian anaknya sebagai mati katak.
Jelas wanita itu, tidak sepatutnya komen sedemikian diucapkan memandangkan ahli keluarga arwah masih lagi sedang berkabung.
“Terima kasih kerana anda sudi komen walaupun komen anda tak sepatutnya ditulis sebegitu. Saya tak mahu bercerita tentang ini tetapi memandangkan komen anda sinis dan memedihkan hati, sebagai seorang ibu yang kehilangan anak dalam kemalangan yang tragis ingin saya beritahu ya, anak saya yang awak cakap mati katak tu meninggal dalam keadaan menangis dan hidungnya berpeluh.”
Tambah Nur Syakinah lagi, wajah arwah sangat bersih dan tenang seperti orang yang sedang tidur. Malah dia meminta agar Allah tempatkan anaknya dalam kalangan orang-orang yang diredai.
Bahkan individu yang menggunakan akaun palsu untuk menulis bait kata berbaur hinaan terhadap arwah tersebut turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.
Allahyarham Sandra yang juga merupakan peserta program Big Stage 2020 disahkan meninggal dunia semalam, selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada Sabtu lalu di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tenah (ELITE) berhampiran Subang Jaya.
Jenazah juga sudah selamat dikebumikan di kampung halamannya bertempat di Tuaran, Sabah.