Pemergian seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam satu kemalangan jalan raya di Kuala Terengganu meruntun jiwa ramai apabila ibu bapanya dikatakan sempat melalui lokasi kejadian tanpa menyedari mangsa merupakan anak mereka sendiri.
Mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, disahkan meninggal dunia selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah Honda Jazz ketika melalui simpang empat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu pada jam 1.38 tengah hari, Isnin.
Kisah menyayat hati itu tular selepas satu hantaran dimuat naik oleh Farah Aqeelah di media sosial, yang mendedahkan bahawa ibu bapa arwah sempat melihat kemalangan tersebut, namun tidak mengenali mangsa berikutan keadaan kenderaan yang remuk teruk serta suasana lokasi yang sesak.
Ketika kejadian, bapa Allahyarham, Mazli Yusoh, 51, yang juga dikenali sebagai Ustaz Mazli, bersama isterinya Nurul Huda Ibrahim sedang dalam perjalanan untuk menyelesaikan urusan di Kuala Berang.
“Arwah merupakan anak saudara kepada mak long (ibu saudara Farah) saya.”
“Paling sedih bila mak ayah arwah sempat lalu tempat kejadian lepas kemalangan tu siap cakap teruknya… anak siapalah tu, kesiannya.”
“Tapi disebabkan terlalu ramai orang dan kereta pun dah agak hancur teruk, mak ayah dia tak cam dan berlalu pergi teruskan perjalanan,” ujarnya.
Tragedi itu hanya terbongkar sekitar 30 minit kemudian apabila Mazli menerima panggilan daripada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memaklumkan kenderaan didaftarkan atas namanya terlibat dalam kemalangan tersebut.

Allahyarham Syakirah merupakan anak kedua daripada tujuh beradik dan ketika kejadian sedang dalam perjalanan ke Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bagi menguruskan hal berkaitan latihan mengajar (praktikal) yang dijadualkan bermula Mac ini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
