Kisah mengenai Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kanak-kanak yang pernah menyentuh hati rakyat Malaysia apabila menjalani pembedahan membuang ketumbuhan mulut Germ Cell Tumor, kembali mencuri perhatian ramai.
Terbaharu, bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 30, berkongsi beberapa foto menunjukkan Ainul yang kini berusia tujuh tahun sedang menikmati aktiviti perkhemahan bersama keluarga tercinta.
“Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah. Ainul dan camping. Dunia dia di sini,” tulis Safiuddin ringkas dalam kapsyen di Facebook.
Perkongsian tersebut segera dibanjiri reaksi positif daripada netizen yang tersentuh melihat perkembangan terkini Ainul yang kelihatan sihat, ceria dan aktif seperti kanak-kanak lain seusianya.
“Adik yang pernah viral satu ketika dulu. Dah besar sekarang. Semoga sihat selalu dik,” komen Wadie Die.
“Besar dah anak ‘online’ kami ni. Semoga terus sihat ya adik,” tulis Cik Mawar Su pula.
Untuk rekod, Ainul menjadi perhatian rakyat Malaysia pada tahun 2019 ketika usianya baru mencecah sembilan bulan apabila terpaksa menjalani pembedahan kompleks bagi membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulutnya.
Pembedahan tersebut dijalankan di sebuah hospital di London oleh sekumpulan pakar bedah dan anestetik yang diketuai oleh Ketua Unit Craniofacial, Prof. David Dunaway, dengan penyertaan pelatih pakar bedah yang juga pempengaruh terkenal, Dr. Nur Amalina Che Bakri.
Kisah kecekalan Ainul dan keluarganya terus menjadi inspirasi ramai sehingga hari ini, dan perkembangan positif terkininya nyata memberi kelegaan serta kegembiraan buat rakyat Malaysia yang mengikuti kisahnya sejak awal.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.