Penyanyi muda Putri Dahlia, anak kepada penyanyi terkenal Datuk Nora Ariffin, memilih untuk tidak mencampuri urusan peribadi ibunya, termasuk isu berkaitan kemelut rumah tangga yang sedang hangat diperkatakan.
Putri, 21, berkata dia yakin ibunya mampu membuat keputusan terbaik demi kebahagiaan dan ketenangan diri.
Saya sebenarnya tak baca komen dan tak terlibat. Saya fikir mereka adalah orang dewasa, boleh uruskan masalah sendiri. Sebagai anak, saya hanya menyokong apa yang mereka buat, tapi tidak terlibat dengan isu-isu itu.
Saya percaya apa yang ibu buat kerana mesti ada sebab tersendiri. Saya hanya nak ibu buat pilihan yang boleh buatkan dirinya gembira dan tenang.
Putri berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbaharunya bersama Zaki Yamani berjudul Aku Ada, yang berlangsung di The Port Karaoke, IOI Mall Puchong pada Jumaat lalu.
Dalam masa sama, Putri mengakui dirinya sering menjadi tempat ibunya meluah perasaan dan menganggap dirinya seperti ‘pakar terapi’ dalam rumah.
Saya kadang-kadang boleh dianggap ‘pakar terapi’ di rumah. Dengan kawan-kawan pun saya akan cakap kalau ada masalah boleh jumpa saya sebab saya ini seorang yang ada empati. Kadang-kadang ibu pun datang berjumpa dan meluah masalahnya kepada saya.
Saya bukan beri nasihat, cuma mendengar kerana mungkin mereka hanya mahu meluah. Saya memang rapat dengan ibu dan percaya pada setiap keputusan yang dia buat.
Terdahulu, Datuk Nora mengejutkan peminat apabila memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya, Dr Rushdi, dipercayai susulan tekanan daripada pihak ketiga.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.