Siapa yang tidak mengenali rancangan dokumentari haiwan liar ‘Crocodile Hunter’ yang dihoskan oleh pasangan suami isteri, Steve Irwin dan Terri Irwin. Rancangan ini juga menampilkan kedua-dua anak mereka, Bindi dan Robert. Keluarga ini sangat tidak kekok untuk mengendalikan walau apa juga jenis haiwan.
Tahun 2006, Steve Irwin disahkan meninggal dunia kerana disengat oleh ikan pari berbisa ketika melakukan penggambaran di The Great Barrier Reef. Namun, keluarga Irwin tetap tidak patah semangat untuk meneruskan misi Steve Irwin dalam memelihara haiwan. Ini juga sudah menjadi minat keluarga Irwin untuk berhadapan dengan pelbagai haiwan.
Keluarga ini juga memiliki sebuah zoo di Australia dan pelbagai pusat konservasi telah dibangunkan untuk menyelamatkan haiwan yang terancam. Lebih-lebih lagi apabila hutan di Australia telah terlibat dalam pembakaran besar baru-baru ini.
View this post on Instagram
Lokasi majlis perkahwinan yang unik dan menarik
Anak perempuan Steve, Bindi Irwin, 21 tahun mengambil keputusan untuk mengikat tali perkahwinan meskipun dalam kemelut COVID-19. Bindi Irwin memilih Chandler Powell, 23 tahun sebagai pasangan hidupnya.
Lokasi perkahwinan mereka dilangsungkan di Zoo Australia yang mana lokasi tersebut sering menjadi lokasi penggambaran Steve Irwin.
Meskipun tanpa kehadiran saudara terdekat dan rakan rapat, majlis perkahwinan tersebut tetap meriah dengan tetamu ‘istimewa’ seperti ular sawa, koala, zirafah, burung kakak tua dan banyak lagi.
Majlis perkahwinan tetap berjalan lancar meskipun tanpa kehadiran saudara dan rakan-rakan yang lain, hanya ahli keluarga sahaja yang berada di dalam majlis tersebut. Sebelum Bindi dan Chandler berkahwin, mereka berdua berkawan baik dan bertugas di Zoo Australia.
Gambar perkahwinan tarik perhatian ramai pihak
Bindi turut berkongsi kegembiraan hari perkahwinannya dengan memuatnaik gambar perkahwinan mereka yang dilakukan di zoo tersebut. Menurutnya, Bindi berasa sangat bertuah kerana dapat merealisasikan hari perkahwinan di tempat kegemaran Bindi dan Chandler Powell di Zoo Australia.
View this post on Instagram
Robert Irwin, 16 tahun telah menggantikan mendiang ayahnya untuk menjadi wakil dan memimpin tangan Bindi sebelum upacara majlis perkahwinan dimulakan.
Perkenalan Bindi dan Chandler yang berasal dari Amerika Syarikat telah mengambil masa 6 tahun sebelum kedua-duanya mengambil keputusan untuk berkahwin. Selama usia perkenalan, mereka banyak terlibat dalam pelbagai misi konservasi haiwan liar di Zoo Australia. Gambar perkahwinan Bindi juga turut disiarkan dalam edisi khas rancangan televisyen Animal Planet, laman web dan beberapa media sosial.
Menariknya, terdapat foto yang menunjukkan Chandler ketika kecil adalah peminat Steve Irwin kerana memegang VCD Crocodile Hunter di tangannya. Siapa sangka, apabila sudah dewasa Chandler mengahwini anak Steve Irwin.
View this post on Instagram
Sehingga sekarang, Bindi masih menyimpan segala gambar kenangan bersama mendiang ayahnya kerana pengalaman kehidupan yang sangat berharga dihadiahkan buat dirinya.