Bermula dengan paksaan, kini menjadi minat dan seterusnya kerjaya. Begitulah kisah perjalanan Asmidar Bahari, 27, yang juga pensyarah bidang Elektrik di sebuah kolej swasta di Kemuning Utama, Shah Alam, Selangor.
Anak jati Felda Jenderak Utara, Kuala Krau, Pahang itu juga berkata pada awalnya dia langsung tidak meminati bidang tersebut.
Segalanya bermula apabila dia hanya memenuhi permintaan bapanya sahaja untuk menyambung pengajian dalam bidang Elektrik. Walhal, hatinya masih tidak rela.
Siapa sangka, perasaan tidak suka akhirnya bertukar minat untuk mempelajari bidang tersebut selepas enam bulan di tempat belajar.
“Tak sangka saya boleh lakukan kerja-kerja lelaki. Bila buat wiring, saya teruja lampu dan kipas boleh menyala. Lepas tu terus timbul rasa minat, siap dapat keputusan cemerlang”
“Saya habiskan pengajian selama dua tahun, kemudian sambung lagi sehinggalah dapat bergelar pensyarah dalam bidang ini”
Mesra disapa Asmidar, dia juga pernah berkecil hati gara-gara dipandang rendah selepas mula mengikuti pengajian dalam bidang kemahiran.
“Memang sangat terasa hati awal-awal dulu. Bila dapat je keputusan SPM, kawan-kawan dapat masuk universiti, saya pula sambung dalam bidang kemahiran di kolej swasta”
Kata Asmidar, tidak rugi menceburi bidang kemahiran kerana ia mendapat permintaan tinggi pada masa ini. Tambahan pula, waktu ini sangat jarang kita temui kaum wanita di bidang ini.
“Kalau dulu saya tak ikut cakap ayah, mesti sekarang dah menyesal. Sekarang kemahiran dipandang tinggi”
Lebih membanggakan, selain menjadi pensyarah, Asmidar kini dapat membuka company kecil kecilan yang menyediakan perkhidmatan elektrik mengikut permintaan.
“Ayah saya paksa masuk bidang ni sebab kakak saya pun ambil bidang yang sama. Kakak saya pun dah jadi technician di sebuah hotel terkemuka”
Asmidar juga menyeru golongan muda khususnya kaum hawa agar tidak bimbang untuk menyertai bidang berkaitan elektrik atau bidang lain yang sinonim dengan golongan lelaki.
“Jika rasa keputusan SPM kurang baik, boleh ceburi bidang kemahiran. Sekarang boleh kira dengan jari berapa ramai kaum hawa ada dalam bidang ini”
“Jangan rasa takut, kena percaya dengan kebolehan diri. Bila dah masuk, baru tahu macam mana”
Hebat kan semangat wanita ini. Jarang-jarang ada wanita kental yang mampu bekerja dalam skop yang ‘disapu rata’ kaum lelaki. Semoga kisah ini memberi inspirasi buat semua!