Penyanyi rock legenda, Amy membuat satu pengumuman mengejutkan apabila dia secara rasmi telah mengundurkan diri sebagai vokalis kumpulan Search.
Menurutnya, keputusan itu sudah lama difikirkan dan baru kini dapat ditunaikan dan adalah untuk kebaikan bersama termasuk memberi peluang buat anggota Search yang lain, tidak menghalang lagi perjalanan karier mereka.
Amy juga mengatakan bahawa usianya sudah mencecah 62 tahun, sebagai penyanyi mungkin kualiti vokalnya juga tidak sama seperti pada usia 26 tahun.
Saya dengan ini secara rasmi mengumumkan untuk mengundurkan diri sebagai vokalis Search. Dengan pengumuman ini saya berharap agar saya tidak menghalang perjalanan atau karier anggota sedia ada.
Hal itu terjadi kepada semua penyanyi di seluruh dunia. Saya bukan 26 tahun, tapi 62 tahun. Saya menyanyi apabila dipanggil dalam show atau persembahan tertutup. Saya kira ia sesuai dengan peredaran masa di mana jika dulu peminat yang membesar bersama saya menonton saya menyanyi di konsert, tapi saat usia meningkat banyak yang memilih untuk menyaksikan persembahan saya secara tertutup.
Dalam pada itu, Amy menjelaskan dia bukannya berundur dari industri hiburan, cuma tidak lagi menjadi vokalis kumpulan rock tersebut. Amy juga berkata dia akan terus menyanyikan lagu Search dalam persembahannya selepas ini.
Sudah pasti saya akan tetap menyanyikan lagu-lagu Search selepas bergerak solo nanti. Saya bukan bersara ya. Saya hanya rasmi tidak lagi menjadi vokalis Search dan meneruskan karier solo mengikut usia saya.
Kumpulan Search ditubuhkan pada tahun 1981 dan antara kumpulan rock paling ‘legend’ di Malaysia. Agak sedih juga apabila Amy tidak lagi menjadi vokalis tetapi apa-apa pun, kita doakan yang terbaik buatnya dan semoga terus sukses.