Umum sedia maklum tentang Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula dari 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 dimana orang ramai diminta untuk kuarantin di rumah bagi menangani penularan COVID-19.
Namun, buat pelakon Nabila Huda dia sehingga kini masih lagi menjalani penggambaran bersama sebuah produksi di Kelantan.
Melihat situasi yang berlaku, Amy Search menerusi akaun Instagram berang apabila anaknya itu terpaksa mempertaruhkan nyawa terus bekerja ketika virus sedang mengganas.
Dia menyifatkan pihak produksi tidak bertanggungjawab dan hanya memikirkan keuntungan sahaja. Penyanyi rock itu juga turut meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap perkara itu.
Amy turut memuat naik kenyataan media pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menasihatkan semua pemegang lesen di bawah Akta Finas (Akta 244) agar menghentikan semua aktiviti perfileman selaras dengan arahan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.
Di ruangan komen, Abil membalas keluhan bapanya dan memberitahu dia sudah mendapatkan kebenaran dari pihak produksi untuk pulang.
Terdahulu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia merayu kepada semua rakyat Malaysia agar mengambil serius Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diarahkan oleh kerajaan. Ketua Pengarah Kesihatan. Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menggesa agar masyarakat membantu KKM dengan memainkan peranan masing-masing ke arah memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.