Sedangkan pantai lagi berubah, inikan pula hati manusia. Terharu Abang Nara membaca luahan kata-kata Ammar Alfian di BiPop semalam. Siapa sangka, pelakon yang penuh kontroversi ini berazam untuk menjadi budak baik. Selama ini sememangnya imej “bad boy” sinonim dengan Ammar. Semoga azam Ammar kali ini akan menjadi kenyataan dan bukannya sekadar omong kosong.
Kata Ammar Alfian:-
Apa yang terjadi selama ini membuktikan mungkin yang kita rasakan OK tidak semestinya OK pada mata orang. Lumrah dalam hidup, bukan semua sukakan kita dan berusaha mencari kesilapan demi kesilapan. Saya bukan manusia sempurna dan saya ada niat untuk berubah.
Menjadi figura awam, saya kian sedar satu persatu cerita lama akan diselongkar, selain setiap gerak geri kita diperhatikan. Dulu saya sinonim dengan imej “bad boy” tetapi kini saya nak memulihkan semula reputasi untuk jadi “good boy” pula. Tapi perubahan itu saya tak lakukan secara drastik.
Saya tak mahu dianggap sekadar cakap tak serupa bikin. Tapi sebagai manusia saya layak untuk berubah. Saya mahu lebih fokus kepada kerjaya. Saya tak nafikan dulu saya memang kaki “clubbing” tetapi sekarang saya cuba kurangkan. Saya cuba kurangkan aktiviti sosial termasuk yang melabelkan saya sebagai kaki perempuan.
Baguslah ada niat untuk berubah. Kalau dulu memang penuh dengan kontroversi, kali ini kurangkanlah. Tumpukan pada lakonan. Kalau setakat popular kerana kontroversi tak guna juga kan? Kepada Ammar, berusahalah. Yang penting, jangan pedulikan kata-kata orang. Yang nak berubah adalah kita. Tak gitu?