Hantaran terbaharu di Instagram Story milik penyanyi dan pelakon, Amira Othman mencuri perhatian ramai apabila dia berkongsi semula potongan khutbah terakhir Rasulullah S.A.W.
Perkongsian itu memaparkan pesanan penuh makna daripada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menjaga tutur kata dan perbuatan terhadap orang lain.

“Jangan lukai orang lain seperti orang lain melukaimu, ingat kamu akan bertemu Allah dan kamu akan mempertanggungjawabkan amalanmu dengan sebaik-baiknya.”
Walaupun tidak disertakan sebarang kapsyen tambahan, perkongsian tersebut seolah-olah membawa mesej tersirat berkaitan keinsafan serta tanggungjawab setiap individu atas setiap perbuatan yang dilakukan.
Tidak lama kemudian, hantaran itu turut dikongsikan semula oleh para peminat yang meninggalkan kata-kata semangat buat pelantun lagu Hati-Hati berkenaan.
Rata-rata warganet dilihat memahami situasi yang sedang dilalui isteri kepada aktor Fattah Amin itu, susulan kecaman yang diterimanya baru-baru ini berhubung isu busana raya yang digayakan.
Terdahulu, penampilan Amira ketika memperagakan baju raya mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk komen negatif yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.
Dalam satu temu bual sebelum ini, Amira menegaskan dia tidak mudah terkesan dengan kecaman meskipun busana raya yang digayakannya disamakan dengan terung.
“Bagi saya, komen dan kritikan itu perkara biasa. Saya pergi majlis atau program usrah pun boleh jadi isu, apatah lagi kalau ada sedikit kekhilafan. Fesyen ini subjektif. Ada yang nampak cantik, ada yang sebaliknya.”
“Sama seperti makanan, ada yang kata sedap, ada pula yang kata tidak. Kita memang tidak boleh puaskan hati semua orang.”
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
