Salah seorang daripada anggota De Fam, Cik Manggis tampil ayu dan sopan setelah mengambil keputusan untuk berhijab baru-baru ini.
Cik Manggis atau nama sebenarnya, Nurshazwani Shamsuddin,31, memberitahu media bahawa perjalanan hijrahnya itu dilakukan secara perlahan-lahan dalam memastikan dirinya benar-benar bersedia dan sentiasa istiqamah.
Dia yang telah lama memasang niat untuk bertudung berkata, keputusannya itu dilakukan bukan secara tiba-tiba.
“Betul saya sudah berhijab. Alhamdullilah. Sebenarnya ini bukan keputusan yang tiba-tiba. Saya dah lama pasang niat tapi saya perlu lakukannya perlahan-lahan, bukan mengejut.. tak boleh nak terus berubah,”
Ditemui mStar Online, Cik Manggis berkata pengalaman menuju hijrah itu sememangnya agak mencabar untuk ditempuhi. Pada mulanya, dia berjinak-jinak dengan memakai anak tudung dahulu sebelum bertudung sepenuhnya, selangkah demi selangkah.
Pada awalnya, tidak mudah bagi dia untuk mengubah imej kerana sudah terbiasa dengan gaya hidup yang sedia ada. Namun, niat yang semakin membuak-buak telah memudahkan urusannya untuk berhijrah.
Ketika disoal mengenai penglibatannya selepas ini dalam kumpulan De Fam, penyanyi lagu Panas ini berkata penghijrahannya itu tidak bermakna dia akan meninggalkan kariernya itu.
Mengulas mengenai persembahan De Fam yang sering dikaitkan dengan tarian ‘freestyle’ dan sebagainya, Cik Manggis mengakui tidak akan sekali-kali mengabaikan minatnya dalam arena tarian dan menganggap persembahan dalam De Fam sebagai sebuah aktiviti sukan.
Meskipun ada sesetengah netizen mempersoalkan keputusannya untuk berhijab, dia lebih selesa memilih untuk mengabaikan kata-kata mereka yang hanya berniat untuk mencari kelemahan dirinya semata-mata.
“Apa yang saya utamakan sekarang ialah ada kemajuan dalam hidup saya. Saya pun tak harapkan apa-apa dari orang lain sebab saya buat semua ini demi diri saya sendiri, bukan orang lain,jadi apa orang nak fikir, fikir la..” – Cik Manggis