Berbeza dengan isterinya, Amyra Rosli yang semakin aktif berlakon dan mendapat sambutan ketika membawakan watak Nur, nama pelakon Amar Baharin seakan jarang diperkatakan lagi. Malah, beliau juga sudah lama tidak muncul di kaca televisyen membintangi mana-mana drama.
Ada yang berkata, Amar masih diingati dan dikenali kerana menumpang populariti isterinya sahaja. Bagaimanapun, Amar menafikan dakwaan itu. Jelas beliau, soal menumpang populariti itu tidak pernah timbul kerana sejak daripada dulu lagi mereka mempunyai karier masing-masing.
Selepas berkahwin, kami meneruskan karier masing-masing. Cuma apabila ada sokongan daripada isteri dan ada anak (Aqeef Anaqi), populariti semakin kuat dan kukuh. Kalau seorang, populariti saya nampak terkontang-kanting begitu saja.
Sekarang saya lebih mengutamakan cerita berkenaan keluarga kerana peminat lebih sukakan cara ini. Mereka nak tahu pasal keluarga dan tak ambil peduli apa yang saya lakukan secara sendirian.
Biasalah, kadang-kadang perjalanan karier setiap orang itu berbeza tetapi tidaklah sampai tiada rezeki untuk keluarga. Difahamkan, Amar akan kembali ke set penggambaran pada penghujung bulan ini dan bakal bergandingan dengan Izara Aishah dala sebuah drama adaptasi novel. Sama-sama kita nantikan kemunculan semula Amar.