Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan mangsa dalam kes melibatkan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, untuk memberikan keterangan secara video pada tarikh perbicaraan akan datang memetik Harian Metro.
Perkara itu dimaklumkan oleh salah seorang peguam bela Naim, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, selepas prosiding berakhir.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memberikan arahan agar saksi berkaitan iaitu mangsa dalam kes ini memberikan keterangan secara video pada tarikh bicara nanti.
Jadi pada tarikh bicara, kita akan mendengar saksi yang berkaitan memberikan keterangan secara video.
Selain Nur Syafiah, Naim turut diwakili oleh Mohd Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.
Sebelum ini, Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, pada 19 Mei lalu sekitar jam 8.56 malam.
Jika sabit kesalahan, pelantun lagu Sumpah itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Mahkamah Sesyen Putrajaya sebelum ini menetapkan 15, 16 dan 18 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan kes tersebut.
Dalam pada itu, peguam Mohd Irwan memaklumkan bahawa pihaknya masih belum mendapat kepastian mengenai tarikh sebenar saksi akan memberi keterangan.
Itu kita tak pasti, tetapi tarikh perbicaraan kekal sama pada Disember.
Siapa yang akan beri keterangan dahulu kita tak tahu, bergantung kepada pihak pendakwaan.
Sementara itu, Naim ketika ditemui media menegaskan bahawa aktiviti seninya berjalan seperti biasa dan beliau akan terus komited dalam menghadapi proses perbicaraan yang sedang berlangsung.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.