Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mansuh sekatan yang menghalang pencarum melabur di luar negara. Menurut laporan Star Online, langkah terbaharu itu seraya membenarkan ahli menggunakan caruman untuk membuat pelaburan dalam amanah saham yang dilaburkan sepenuhnya di luar negara.
Sebelumnya dana amanah saham yang dibenarkan tidak boleh melebihi 30% pendedahan aset ke luar negara.
Dengan ini, pencarum kini boleh mempelbagaikan pelaburan dalam dana yang 100% dilaburkan di luar negara selagi dana berkenaan diiktiraf KWSP. Ahli boleh melabur menggunakan simpanan dalam akaun 1.
Ketika ini KWSP menguruskan aset pelaburan bernilai kira-kira RM680 bilion untuk 14.5 juta ahli, dimana 6.7 juta merupakan pencarum aktif.
Kumpulan mengisytiharkan kadar dividen 6.4% bagi tahun 2015 dan 6.75% untuk 2014.
Mulai Januari tahun depan, KWSP akan menawarkan skim pelaburan patuh syariah, atau Simpanan Syariah.
KWSP menjangkakan antara 1.5 juta dan 2 juta ahli akan menukar simpanan mereka ke Simpanan Syariah di tahun pertama pelancarannya.
Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan dipetik berkata kumpulan umumnya membayar dividen lebih tinggi kepada pencarum berbanding amanah saham.
“Hanya satu daripada lima pencarum yang mengeluarkan wang daripada KWSP untuk melabur dalam unit amanah menikmati pulangan yang lebih baik daripada pulangan yang kumpulan akan beri kepada mereka.
“Pencarum yang mahu melabur diluar KWSP harus celik kewangan,” kata Shahril menurut laporan itu.
Beliau meramalkan dividen bagi tahun 2016 akan lebih rendah berbanding 6.4% tahun ini.
“Paras pulangan ekuiti tahun ini tidak akan sama dengan tahun lepas. Maka, jika kamu perhatikan penyumbangan daripada ekuiti, yang menyumbang 60% daripada pendapatan kumpulan tahun lalu, kini sudah turun ke 40%.
“Jika ini berterusan, pendapatan kasar keseluruhan kumpulan bagi tahun 2016 akan kurang berbanding 2015 dan dividen yang diisytiharkan juga akan rendah,” kata Shahril.