Anak kepada penyanyi terkenal Liza Hanim, iaitu Marsya Qistina, diumumkan sebagai juara program realiti Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) yang berlangsung secara langsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada malam Ahad.
Dengan kemenangan itu, Marsya berjaya meraih markah tertinggi sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 serta peluang menghasilkan sebuah single baharu di bawah syarikat rakaman Rocketfuel Entertainment.
“Syukur Alhamdulillah atas rezeki ini. Terima kasih kepada semua yang percaya dengan potensi saya,” ujar Marsya selepas diumumkan juara.
Tempat naib juara disandang oleh Talita (diuruskan oleh Shuib) yang menerima RM15,000, manakala Audra (Sharifah Shahirah) dan Ammar (Ameng) masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat, membawa pulang RM10,000 dan RM5,000.
Ehmad Hadie (Ina Naim) pula di tempat kelima dan Ahmad Dayyan (Siti Saerah) di tempat keenam, masing-masing membawa pulang RM3,000. Selain itu, kategori Manager Paling Viral turut dianugerahkan dengan hadiah RM500.
Untuk pentas akhir, para peserta mempersembahkan dua tugasan istimewa — redemption dan reconnect — yang turut menampilkan artis jemputan sebagai pasangan persembahan.
Sementara itu, Sharifah Shahirah diumumkan sebagai penerima anugerah Most Valuable Manager, memilih baucar membeli-belah bernilai RM2,000 berbanding dua pilihan lain iaitu percutian ke Langkawi dan gelang emas.
Malam kemuncak turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan ALPHA yang menyampaikan lagu daripada band My Chemical Romance (MCR).
Program Talk To My Manager dihoskan oleh Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil) dan telah bersiaran selama lapan minggu, dengan Che Puan Sarimah serta Datuk AC Mizal sebagai juri tetap, manakala Datuk Syafinaz Selamat hadir sebagai juri jemputan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.