Pelakon dan pelawak, Along Cham, menzahirkan rasa syukur dengan melakukan sujud di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen hari ini memutuskan untuk melepaskannya tanpa membebaskan (DNAA) atas tuduhan memiliki dadah disyaki kanabis yang dijumpai di kediamannya di Cyberjaya pada Disember tahun lalu.
Namun, menurut Harian Metro, Along, atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain, iaitu memiliki dan menggunakan dadah, serta dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000.
Di Mahkamah Majistret, Along mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki 49.61 gram kanabis di sebuah rumah di Cyberjaya pada 14 Disember 2024 dan memasukkan dadah jenis THC ke dalam badannya di lokasi sama.
Pertuduhan pertama di bawah Seksyen 6 ADB 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39(a)(1), manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 membawa hukuman denda maksimum RM5,000, penjara hingga dua tahun, serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun.
Pada 20 Disember 2024, Along didakwa didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya, dekat sini, 3.10 petang, 14 Disember lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan sebat maksimum 10 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan itu tidak boleh dijamin.