Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bahawa beliau difitnah oleh ahli perniagaan dan pempengaruh, Aliff Syukri Kamaruzaman, yang didakwa menggambarkannya sebagai samseng Hollywood, ‘kaki botol’ dan ‘kaki perempuan’, memetik Sinar Harian.
Abdul Kadir, 86, selaku saksi plaintif pertama, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes saman terhadap Aliff Syukri, 39, di hadapan Hakim Roslan Mat Nor.
Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu menjelaskan bahawa hantaran yang dibuat penyanyi lagu raya kontroversi terbabit telah memberi impak negatif terhadap reputasinya sebagai seorang veteran UMNO yang berkhidmat dalam arena politik selama 30 tahun.
Beliau yang juga pernah memegang jawatan Menteri Penerangan dari tahun 2004 hingga 2006 berkata, defendan didakwa menyunting gambarnya dengan memaparkan beliau duduk di sebelah seorang penyanyi terkenal serta segelas arak, ketika menghadiri Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia pada 23 Julai 2023.

“Saya tidak berhutang RM30 juta dengan defendan tapi dia mendasarkan tuntutan pada perjanjian usaha sama, satu perjanjian yang saya bukan pihaknya.
“Saya juga tidak pinjam wang itu sebaliknya menganggap ia sebagai pelaburan untuk projek mega,” katanya.
Menurut Abdul Kadir, sepanjang tiga dekad berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, beliau tidak pernah terhegeh-hegeh meminjam wang, sebaliknya telah membantu melahirkan ramai ahli perniagaan sehingga berjaya menjadi jutawan.
Beliau turut menyifatkan dakwaan fitnah itu sebagai melampau kerana menggambarkannya sebagai seorang warga emas yang menjijikkan.
Sedangkan katanya, niatnya hanyalah sebagai orang lama yang mahu membantu ahli perniagaan baharu.
Dalam prosiding tersebut, Aliff Syukri tidak hadir ke mahkamah dan diwakili oleh peguamnya iaitu Zulfahmi Abu Bakar, Mohd Tajudin Abd Razak dan Shah Nurul Afzan Abdullah.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
