Bukan sahaja dikenali sebagai jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri juga begitu gigih untuk bergelar pelakon, penyanyi dan seorang Youtuber. Macam-macam cara yang dilakukan untuk membuatkan dirinya terus menjadi perhatian ramai dan meraih populariti.
Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila namanya langsung tidak tercalon dalam mana-mana kategori dalam Anugerah MeleTOP ERA 2020 (AME 2020).
Aliff mengakui dia agak terkilan dan pada masa yang sama keliru mengapa dia tiada dalam pencalonan anugerah itu pada tahun ini.
Semua orang kenal keluarga saya dan masih relevan dalam industri tetapi saya tak boleh puaskan hati semua orang.
Sudah tentu saya terasa dan sedih, orang lain (yang tercalon) itu terkenal ke? Tetapi saya akui, saya tak boleh memaksa mana-mana pihak sebab siapalah saya? Saya rasa kurang adil tapi apakan daya takkan saya nak meraih simpati pula.
Tahun lalu, anak keempatnya Yusoff Al Qardawi memenangi kategori Si Cilik Meletop. Mungkin tiada rezeki untuk Aliff tercalon di AME 2020 pada tahun ini, bagilah peluang untuk orang lain pula menang dalam kategori yang dipertandingkan.