Baru-baru ini, Datuk Seri Aliff Syukri sekali lagi dikecam teruk selepas kantoi cuba menjual topeng muka bocor. Malah, video demonstrasi Aliff turut mendapat perhatian dunia dan tular di laman komuniti terkemuka, Reddit sehingga menjadi bahan jenaka ramai.
Menerima kecaman yang tidak henti sehingga ada yang melabelkannya penipu, Aliff tampil memberi penjelasan mengenai isu berkenaan. Dia tidak sangka topeng itu akan bocor selepas dicurahkan air.
Menurutnya lagi, topeng muka berharga RM25 itu belum dijual kerana masih dalam peringkat ujian dan sebelum ini dia hanya membuka tempahan ‘pre-order’ sahaja. Aliff memohon maaf atas apa yang berlaku dan dia juga telah memutuskan untuk tidak menjual produk tersebut.
Dalam pada itu, Aliff turut merayu kepada netizen supaya berhenti mencari kesalahannya dan melemparkan tohmahan terhadap dirinya.
Terdahulu, insiden itu turut mendapat perhatian pendakwah bebas, Da’i Wan Dazrin yang membuat teguran secara terbuka kepada Aliff kerana bersikap tidak jujur dalam perniagaan. Menurut Da’i Wan, Aliff telah melakukan penipuan secara terang-terangan dan menyifatkan tindakannya itu satu dosa besar serta haram di sisi Islam.