Pernah menyatakan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi serta memiliki segulung ijazah, akhirnya impian Datuk Seri Aliff Syukri menjadi kenyataan apabila diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM). Bagaimanapun, ada segelintir netizen yang mempertikaikan kelayakannya dan menuduh dia menggunakan kekayaannya untuk masuk ke universiti tersebut.
Aliff sangat terkilan dengan dakwaan itu sedangkan apa yang diperolehnya itu adalah atas usaha dan pengorbanannya. Gigih belajar selama enam bulan untuk memastikan dirinya lulus ujian kelayakan.
Korang sangka tak, saya diterima masuk UiTM? Pertama kali masuk UiTM. Saya sedih sangat sebab ramai orang cakap saya masuk universiti ini sebab pakai duit atau rasuah.
Sedangkan saya belajar nak dekat dua tahun untuk saya lulus peperiksaan ini. Dengan usaha saya belajar enam bulan nak lulus peperiksaan, akhirnya saya lulus.
Bakal mengikuti kursus Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Perniagaan Antarabangsa yang bertempat di UiTM Shah Alam, Aliff mengatakan dia mahu mendapatkan segulung ijazah kerana enggan dipandang rendah serta dilabel sebagai seorang yang tiada pendidikan.
Terdahulu, Aliff juga berkata dia ingin membuktikan dirinya masih waras dan tetap bersemangat untuk terus berjaya meskipun sering dikecam serta dihina netizen.