Menyifatkan bekas pembantunya, Allahyarham Muhammad Ghazali Hj Mat Lawi seorang pekerja yang baik dan berdedikasi, usahawan kosmetik penuh kontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri tampil mendedahkan sifat peribadi jejaka tersebut kepada umum.
Menurut Aliff, arwah telah berkhidmat selama empat tahun namun membuat keputusan untuk berhenti kerja sejak tiga bulan lalu.
“Secara jujurnya beliau seorang yang baik. Tidak saya sangka selepas tidak sampai 2-3 bulan beliau berhenti kerja, beliau sakit dan saya dikhabarkan beliau telah meninggal dunia.”
Sementara itu, pelantun lagu Abang Nak Tegur turut menyatakan arwah tidak pernah mengutuk dirinya kepada umum meskipun mengetahui banyak perkara tentang dirinya.
“Walaupun Ghazi ni di kamera nampak seperti poyo tapi orang baik, menghargai kerjanya dan alhamdulillah selama beliau bekerja dengan saya hampir 4 tahun tidak mendatangkan masalah. Malah tidak pernah memburukkan saya walaupun dah berhenti. Jauh sekali mengutuk saya walaupun dia tahu mengenai semua benda tentang saya.
Ujar Aliff lagi, agak sukar untuk dirinya mencari pekerja sebaik Ghazi. Keprihatian lelaki tersebut serta tanggungjawab yang ditonjolkannya dalam melaksanakan tugas amat dikagumi usahawan itu.
Untuk rekod, Ghazi meninggal dunia dipercayai berpunca daripada penyakit appendiks yang dihadapinya. Malah keadaan Allahyarham juga semakin tenat sejak beberapa hari yang lalu.