Semalam, Afifah Nasir telah mengadakan satu sidang media untuk memberi kenyataan mengenai kontroversi dia dan pelakon yang bergandingan dengannya dalam drama Izinkan Aku Menyintaimu, Aliff Aziz, diserbu isteri Aliff di sebuah pusat karaoke di Cheras. Berikutan kejadian itu, ramai telah mempersalahkan Afifah kerana membabitkan diri dan berseronok dengan suami orang.
Dalam sidang media itu, Afifah mengatakan dia hanya mengikut arahan pihak produksi drama yang dilakonkan oleh mereka untuk berbuat baik dengan Aliff bagi memujuk Aliff supaya lebih berdisiplin di set penggambaran. Ini kerana, menurut Afifah, Aliff pernah tidak hadir ke set penggambaran sehingga lapan hari menyebabkan sesi penggambaran yang sepatutnya mengambil masa sebulan berlanjutan dua bulan. Aliff bagaimanapun merasakan penjelasan Afifah tidak masuk akal.
Kata Aliff kepada BH Online:
Jika betul apa yang dikatakan itu, saya mahu bertanya, berapa usia Afifah hingga tak boleh tentukan apa yang betul atau salah. Dia bukan belasan tahun hingga perlu mengikut telunjuk orang dengan alasan kononnya nak membantu produksi melunaskan penggambaran dengan segera.
Usia saya 26 tahun dan Afifah sudah 24 tahun… Beza usia kami hanya dua tahun. Sejauh mana dia boleh berkorban jika benar dakwaan pihak produksi meminta dia buat begitu dan begini untuk saya?
Jangan guna alasan kononnya masih baru dalam dunia seni. Bukan dia tak dibayar untuk berlakon. Dia ada hak menolak perkara yang bertentangan dengan kemahuan dirinya.
Gambar: NST
Aliff juga kesal kerana Afifah membabitkan pihak produksi dalam kisah peribadi mereka dan alasan-alasan Afifah hanya seperti menegakkan benang yang basah.
Saya tak perlu nak selamatkan diri dengan membabitkan orang lain. Saya sendiri mengaku silap sebelum ini dan meminta maaf kepada isteri, keluarga, peminat dan semua pihak atas khilaf yang dilakukan.
Saya fikir Afifah akan matang berdepan hal ini. Saya dan dia tahu perkara sebenar seperti apa yang saya tegaskan sebelum ini.
Apabila saya teliti semula kenyataan Afifah semalam, memang ada yang tak masuk akal. Apa yang terjadi adalah hal peribadi, tak perlu babitkan produksi yang beri rezeki. Jangan nak tegakkan benang yang basah.
DIa juga mempersoalkan kenyataan Afifah bahawa dia bermasalah disiplin di lokasi dan mengapa pula Afifah, pada pendapat penulis, bertindak seperti malaikat mahu mengikut arahan produksi:
Malah jika saya bermasalah tak datang set sehingga lapan hari atau lambat sekalipun, pihak produksi boleh hubungi saya. Mereka boleh saman dan bertindak jika saya tak melunaskan komitmen yang sudah dipersetujui.
Dia (Afifah) patungkah hingga membiarkan tangannya dipegang saya? Bukan dia tak boleh menepis atau menolak tangan saya.
Malah Afifah ada menerima kiriman WhatsApp daripada isteri saya pada sebelah pagi sebelum insiden kantoi di pusat karaoke itu. Namun, Afifah pergi juga pusat karaoke terbabit.
Saya terima hukuman ‘cash’ kerana perkara itu diketahui isteri hingga kantoi pada petang sama. Sedangkan Afifah terus berdolak dalik hingga membabitkan seorang lagi pelakon iaitu Allana Amir yang kononnya akan turut bersama kami di pusat hiburan itu.
Malah, disebabkan Afifah enggan mendedahkan rakaman perbualan kakaknya Anzalna dengan krew produksi bahawa Afifah diminta memujuk Aliff supaya dia lebih berdisiplin di set penggambaran, Aliff berpendapat rakaman itu mungkin telah dilakonkan:
Saya fikir siapa saja boleh ‘berlakon’ menjadi pekerja produksi itu hingga rakaman diperdengarkan kepada wartawan tetapi tidak boleh dirakam semula oleh media atas alasan bimbang kenyataan disalah guna dan menjejaskan reputasi.
Kalau rasa betul kenapa tak didedahkan saja identiti individu yang dimaksudkan.
Dan dia juga tidak takut jika perlu mengambil tindakan undang-undang yang perlu jika Afifah menggunakan lunas perundangan:
Afifah juga ada bangkitkan soal perundangan dan dia ada bukti yang kukuh jika apa-apa terjadi. Saya juga boleh berbuat demikian kerana sudah berunding soal itu.
Dan disebabkan keterbabitan Allana Amir di tengah-tengah kontroversi, Aliff berpendapat pelakon itu mungkin mengambil kesempatan untuk dikenali:
Apa masalah Allana sebenarnya? Bukan dia ada setiap hari di set penggambaran pun. Apa yang dia cuba lakukan saya kurang pasti atau mungkin cuba mengambil kesempatan untuk jadi popular dengan kontroversi ini.
Hasil tinjauan penulis mendapati satu kapsyen yang pernah dimuat naik oleh Afifah beserta gambar bersama Aliff menyatakan Aliff seorang yang ‘easy to work with‘ (senang bekerja bersamanya). Ini berlainan dengan dakwaan Afifah dalam sidang media semalam.
Bagaimanapun, tinjauan penulis mendapati gambar beserta kapsyen tersebut telah dipadam dari akaun Instagram Afifah.
Sumber: BH Online