Tindakan adik Allahyarham Abam Bocey iaitu Ali Puteh yang memuat naik status berbaur hinaan terhadap balu abangnya iaitu Noor Hidayah berkaitan soal harta telah menimbulkan kemarahan netizen. Malah, ramai yang bimbang nasib wanita itu dan anak kecilnya tidak terbela apabila Hidayah ada mendedahkan dia menghadapi kekangan berkaitan harta peninggalan arwah suaminya, termasuklah isu kereta diuruskan pihak keluarga Abam dan dia dibiarkan sehelai sepinggang.
Melihat apa yang berlaku, pelakon Sharnaaz Ahmad terpanggil untuk memberikan komen mengenai isu hangat melibatkan Ali, kakak iparnya dan Datuk Seri Aliff Syukri.
Jangan menilai, takut jadi fitnah
Sharnaaz berharap netizen tidak terus membuat kesimpulan jika tidak mengetahui cerita sebenar disebalik kontroversi yang berlaku, seeloknya berdiam diri sahaja agar tidak menyebarkan fitnah yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Pelakon itu akui tindakan Ali memuat naik status penghinaan terhadap balu arwah Abam itu salah, tetapi Sharnaaz percaya Ali telah pun menyesal.
Tambah Sharnaaz, apa yang berlaku pasti ada sebabnya tetapi orang ramai yang tidak tahu apa-apa tidak sepatutnya membuat andaian sendiri tanpa sebarang bukti.
Kami harap kemelut antara Ali dan Hidayah dapat diselesaikan secara baik dan biarlah pihak yang lebih arif seperti peguam atau jabatan agama Islam membantu menyelesaikan apa sahaja isu yang mereka hadapi.