Gara-gara tekanan yang dihadapi, seorang suami tekad bertindak mengurung isterinya di rumah mereka sebelum diselamatkan pihak bomba.
Turut diselamatkan dua anak pasangan itu yang berusia setahun dan empat bulan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang, Zainurin Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 8.51 malam dan tiba di kediaman berkenaan sembilan minit kemudian.
Difahamkan, lelaki berusia 31 tahun yang kehilangan kerja sebagai jurujual kereta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu, dipercayai mengurung isteri dan anaknya sejak pagi.
“Dia mengunci pagar, pintu gril dan pintu belakang dari dalam serta tidak membenarkan isteri serta anak mereka keluar, termasuk mengambil makanan yang dipesan sejak pagi”
“Selepas 15 minit, kami terpaksa umpil dan memotong kunci mangga pintu gril. Tiga beranak terbabit diselamatkan serta terus dihantar ke rumah jiran”
Berdasarkan maklumat mangsa, suaminya dilihat mula berubah selepas hilang pekerjaan dan tekanan dialami memuncak sejak beberapa hari lalu, bahkan bertindak merosakkan telefon bimbit wanita itu.
Bukan itu sahaja, lelaki terbabit didakwa enggan jika isterinya berhubung dengan dunia luar. Ini susulan terdapat makanan yang dihantar penghantar makanan yang juga terbiar di pagar rumah.
Zainurin berkata, tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang penyelamatan itu dan lelaki terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, sebelum dibawa pulang ke rumah abangnya.
Allahu, sungguh ramai yang terkesan dengan pandemik ini. Semoga semua urusan keluarga tersebut dipermudakan ya.