Di kala kita bergembira menyambut kedatangan Ramadhan, sebentar tadi Abang Nara telah mendapat berita mengenai perginya seorang penyanyi pop yeh yeh popular, iaitu Hasnah Haron. Menurut Hazrey, Hasnah Haron telah meninggal dunia jam 8 pagi tadi akibat kanser pangkal rahim. Sama-samalah kita sedekah Al-Fatihah dan doakan agar Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang beriman.
Arwah Hasnah Haron telah pun menghidap penyakit kanser pangkal rahim sejak Januari yang lepas. Namun beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru sejak seminggu yang lepas apabila penyakit tersebut semakin kronik. Dimaklumkan bahawa kanser tersebut telah menyerang buah pinggang dan paru-paru Allahyarhamah.
Allahyarhamah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah Johor Bahru petang ini. Arwah telah meninggalkan 5 orang anak. Sekali lagi marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah.
Di bawah ialah petikan info Hasnah Haron daripada Wikipedia:-
Hasnah Haron merupakan salah seorang penyanyi pujaan ramai era 60-an / 70-an yang sering mendendangkan lagu-lagu di radio Malaysia.Ketika itu pengaruh kumpulan The Beatles dari England telah mewujudkan irama pop yeh-yeh dari 1965 hingga 1971. Istilah “”pop yeh-yeh”” telah diambil dari judul lagu popular The Beatles, (She Loves You – Yeh, Yeh, Yeh). Penyanyi pada zaman 1960-an biasanya diiringi oleh kumpulan kugiran.Hasnah Haron sering membuat persembahan dengan diiringi oleh kumpulan Les Kafilas. Beliau mencipta nama dengan lagu Bersedih.Hasnah Haron turut terbabit bagi menjayakan Konsert Pop Yeh Yeh Suatu Evolusi 2007, di Stadium Malawati dan julung kali diadakan oleh Global Ads Workstation Sdn. Bhd.