Tanggal 5 Disember hari ini kita dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi terkenal era 80 an iaitu Datuk Nassier Wahab yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada jam 12.45 tengah malam tadi pada usia 57 tahun.
Berita duka tersebut disahkan sendiri oleh pembantu peribadinya, Ariff Salim yang memberitahu arwah meninggal dalam keadaan mengejut selepas muntah darah kira-kira jam 12.30 malam.
Doktor meminta arwah menjalani rawatan menambah darah semalam (kelmarin) kerana beliau tampak terlalu pucat. Jika diikutkan, tiada apa-apa rawatan pada hari ini (semalam). Ketika sedang berehat tadi (malam tadi), arwah meminta saya mengurut tangan dan belakang badan, tetapi tiba-tiba, dia muntah darah yang banyak.
Tiba-tiba sahaja semuanya berlaku. Pada jam 12.45 tengah malam, doktor mengesahkan abang Nassier sudah tiada.
Pada Julai lalu, Allahyarham menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri akibat kanser gusi yang dihidapinya. Akibat penyakit berkenaan, dia sentiasa melakukan rawatan lanjutan seperti radioterapi dan kimoterapi.
Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah. Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya di Bandar Bukit Raja, Selangor, pagi ini untuk urusan pengebumian.
Sama-sama kita sedekahkan Al Fatihah buat Allahyarham dan doakan agar rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Amin.