Seorang lelaki warga emas telah menghabiskan separuh hidupnya dengan menetap bersendirian di Pulau Budelli, Sardinia, Itali sejak 32 tahun lalu.
Kini, dia terpaksa akur meninggalkan pulau yang dipanggil tempat tinggalnya itu selepas menerima tekanan daripada pihak berkuasa tempatan.
Menerusi perkongsian di Facebook, Mauro Mauro Morandi, 81, yang dikenali sebagai ‘Robinson Crusoe’ Itali selepas menetap di kepulauan itu sejak 1989, mengesahkan bakal meninggalkan tempat itu.
“Saya akan tinggalkan tempat ini. (Harap) Budelli akan dilindungi dan dijaga seperti yang saya lakukan selama 32 tahun”.
Menurutnya, dia merancang memulakan hidup baharu dengan menetap di sebuah apartmen kecil di pulau berdekatan, La Maddalena.
“Hidup saya tidak akan banyak berubah. Saya masih boleh melihat lautan”.
Katanya kepada The Guardian. Bekas guru itu terpesona dengan keindahan Budelli ketika dalam pelayarannya dari Itali ke Polinesia. Sejak itu, dia mengambil keputusan untuk menetap di pulau itu dan menjadi penjaga di pulau itu.
Bagaimanapun, keberadaannya di situ tidak disenangi selepas Taman Negara La Maddalena mengambil alih pentadbiran Budelli pada 2015. Sejak itu, warga emas itu kerap diancam kerana dia didakwa tidak mempunyai hak menetap di pulau itu.
Januari tahun lalu, Presiden Taman Negara La Maddalena, Fabrizio Fonnesu berkata, pihak berkuasa tiada pilihan terpaksa masuk campur mengenai pembangunan haram dilakukan di pulau itu termasuk pondok buatan Mauro.