Pelakon dan isteri kepada pelawak serta penyampai radio Chiwan Chilok, iaitu Cinta Aiyuni, menyatakan rasa kecewanya terhadap segelintir netizen yang memfitnah suaminya berhubung dakwaan memperlekehkan tugas suri rumah.
Menerusi satu hantaran tegas di platform Threads, Cinta menegaskan bahawa ramai netizen bertindak melulu dengan menjatuhkan hukuman tanpa memahami konteks penuh perbualan antara Chiwan dan seorang pemanggil wanita semasa siaran radio di Sinar FM baru-baru ini.
Lihatlah wahai netizen, yang mana kecam suami saya itu, aku tak maafkan korang! Sebabkan kenyataan perempuan itu korang terus ‘trigger’ padahal yang komen kebanykkan yang komen itu 98 peratus tak dengar radio.
Tapi disebabkan kenyataan perempuan tersebut, korang terus kecam suami aku.
Cinta turut memuat naik semula video penjelasan Chiwan berhubung insiden tersebut bagi memperbetulkan persepsi masyarakat. Dalam video itu, Chiwan menjelaskan bahawa dia tidak berniat memperlekehkan tugas suri rumah, malah menghargai peranan besar golongan itu dalam keluarga dan masyarakat.
Chiwan sebelum ini tampil memohon maaf secara terbuka selepas berlaku salah faham berikutan pertanyaannya kepada seorang pemanggil wanita mengenai kerjaya sebagai suri rumah. Namun, pertanyaan tersebut menimbulkan salah tafsir dan dianggap seolah-olah meremehkan peranan suri rumah tangga.
Menurut Chiwan, niatnya bukan untuk mempermainkan isu berkenaan, sebaliknya dia menghormati dan memandang tinggi status wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.