Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor baru-baru ini berkongsi tentang pembabitannya dalam filem terbaharu, G Storm yang turut dibintangi pelakon Hong Kong, Louis Koo.
Rosyam berkongsi mengenai wataknya dalam filem tersebut iaitu sebagai ketua penjenayah perdagangan manusia bernama King menerusi sebuah hantaran di laman Instagram miliknya.
Jadi, aku pula jadi jahatlah. Takkan hero pula.
Menurut Rosyam, ia merupakan pertama kali dia berlakon filem Hong Kong dan filem aksi tersebut menceritakan tentang satu pasukan pencegahan rasuah sama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kalau di Malaysia.
Tambah Rosyam lagi, ia sememangnya satu pengalaman yang berharga buatnya apabila dapat bekerjasama dengan produksi dan pelakon antarabangsa.
Bukan itu sahaja, Rosyam memaklumkan yang berlakon dengan syarikat produksi antarabangsa sememangnya berbeza dari segi cara kerja dan sebagainya termasuklah waktu bekerja hanya lapan jam sahaja setiap hari.
Dalam hantaran yang sama, Rosyam turut memuat naik sebuah potongan video beberapa babak dalam filem tersebut yang membabitkan dirinya.
Sekadar info, G Storm adalah filem arahan pengarah, David Lam dan menjadi filem sekuel kepada filem P Storm yang pernah ditayangkan pada tahun 2019.