Tak dinafikan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, para ibu bapa antara yang paling bingung di rumah dalam menjaga anak-anak. Pada waktu ini lah ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencari aktiviti yang sesuai untuk anak-anak tanpa perlu keluar daripada rumah.
Untuk bergantung sepenuhnya pada gajet elektronik mungkin bukanlah idea yang sesuai lagi-lagi jika anak-anak anda masih kecil. Jangan lupa, penggunaan gajet yang melampau boleh memberikan ketagihan kepada anak anda! Jadi seeloknya cari aktiviti yang tidak melibatkan penggunaan gajet anda.
Buka kedai runcit di rumah
Nurafiza Nadzirah Razali, ibu kepada dua cahaya mata ini mendapat idea membuka ‘kedai runcit’ di rumahnya sebagai cara menghiburkan anak-anaknya sambil mendidik. Ada pelbagai snek dan makanan ringan yang dijual di kedai kecil yang dibukanya dan semuanya boleh dibeli selepas melakukan kerja rumah.
Setiap kerja rumah yang disenaraikan mempunyai kadar bayaran yang ditetapkan. Oleh itu, anak-anaknya akan melakukan kerja yang disenarai dan mendapat bayaran upah untuk digunakan sebagai wang belanja di dalam kedai runcit yang dipanggil Kedai Runcit Ibu.
Dengan wang yang berjaya dikumpul, anak-anaknya boleh menggunakannya untuk membeli pelbagai barang seperti biskut, bijirin, air coklat dan snek ringan yang dijual di kedai runcit ibu yang dibuka mulai 10 pagi hingga 8 malam setiap hari.
Untuk makluman, wang yang digunakan sepanjang sesi jual beli ini bukanlah wang ringgit yang betul. Sebaliknya, ianya hanya lah wang mainan yang boleh dibeli secara atas talian sahaja. Jadi tak perlu risau sekiranya wang tersebut hilang atau terkoyak semasa mereka bermain.
Dengan notis lanjutan tempoh PKP yang dipanjangkan sehingga 28 April ini, pastinya ramai ibu bapa yang kini mencari idea yang terbaik untuk menghabiskan masa bersama anak-anak. Idea pembukaan ‘kedai runcit’ di rumah ini, mungkin boleh membantu anda menikmati tempoh PKP ini dengan lebih baik.