Susulan penahanan sukarelawan dan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah.
Kata Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan melakukan sedemikian selepas solat maghrib malam ini dan esok, selepas solat Jumaat.
Selain itu, Mohd Na’im turut menambah semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan perlu menyampaikan khutbah Jumaat khas mengenai isu Palestin.
Ayuh kita semua mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada pasukan Global Sumud Flotilla khususnya rakyat Malaysia yang terlibat selain mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.
Terdahulu, pihak Israel dilaporkan memintas dan menghalang konvoi GSF yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza ketika di perairan antarabangsa.