Tiga lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat mencuri ayam di beberapa pasar awam sekitar daerah Batang Padang, Perak.
Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Mohd Naim Asmawi, mereka ditahan di Rawang, Selangor dan siasatan mendapati suspek berusia 33 hingga 43 tahun itu telah mencuri sebanyak 66 bakul mengandungi ayam bernilai lebih RM27,000.
Modus operandi kumpulan ini melakukan kegiatan itu dengan menaiki lori mereka sendiri atau disewa bagi mengangkut bakul-bakul ayam. Dua suspek berperanan sebagai pencuri manakala seorang lagi akan membeli bekas plastik kosong yang digunakan untuk meletakkan ayam.
Sementara itu hasil saringan air kencing mendapati hanya seorang suspek positif dadah jenis methamphetamin.
Kata Mohd Naim, dua suspek direman hingga Jumaat untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri
Manakala seorang lagi direman dua hari bermula pada hari Selasa dan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam premis.