Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencuri tumpuan ramai sebaik tiba di Malaysia apabila secara spontan menari bersama kumpulan penari tradisional tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketibaan Trump disambut meriah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diiringi persembahan kebudayaan penuh warna-warni sebagai tanda penghormatan kepada tetamu negara.
Sebaik melangkah turun dari pesawat rasmi Air Force One, Boeing 747-200B, Trump tersenyum lebar dan sempat mengikut rentak penari dengan gaya santai. Aksi bersahajanya itu mengundang sorakan dan tepukan gemuruh daripada orang ramai yang berada di lokasi sambutan.
Beliau turut meluangkan masa menyapa rakyat Malaysia yang hadir sebelum mengibarkan bendera Malaysia dan AS, simbolik persahabatan kedua-dua negara. Trump kemudian beramah mesra dengan tetamu yang berada berhampiran sebelum beredar menaiki limosin rasmi, The Beast, bersama Anwar menuju ke lokasi sidang kemuncak.
Trump berada di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20. Kehadiran beliau adalah atas jemputan rasmi Anwar sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
