Acara “hujan duit” memang cukup sinonim dengan festival Mood Republik sehingga pernah mencetuskan kontroversi kerana secara tidak langsung seakan menjatuhkan lagi maruah masyarakat yang sanggup bergaduh, bergesel lelaki dan perempuan semata-mata kerana ingin merebut duit.
Sekali lagi, isu ini menjadi bualan hangat apabila video Datuk Seri Aliff Syukri mentertawakan mereka yang berebut mengutip duit tersebut viral di media sosial. Aliff juga menganggap perkara itu sangat melucukan.

Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan mempersoalkan bagaimana perasaan seronok boleh timbul dalam hati Aliff dan boleh pula tergelak saat melihat masyarakat berpijakkan antara satu sama lain semata-mata kerana wang. Meskipun ia bukanlah duit milik jutawan tersebut, tetapi aksi itu seakan merendahkan harga diri masyarakat.
Bagaimanapun, Aliff bukanlah orang pertama yang dikritik kerana aktiviti duit berterbangan berkenaan. Namun, Aliff tetap ada salahnya kerana memuat naik reaksi beliau yang terlampau seronok di akaun Instagramnya. Beliau seharusnya lebih peka dengan isu sensitif seperti ini.