Pasti ramai yang pernah menonton berita di televisyen. Kalau korang perasan ada satu individu yang akan muncul di bahagian bawah skrin tv iaitu jurubahasa isyarat yang dikhususkan untuk golongan kurang upaya untuk menonton berita terutamanya golongan pekak dan bisu.
Timbul rasa tanda tanya dalam kalangan netizen siapa individu tersebut yang sudah lama menghiasi kaca televisyen sebagai jurubahasa isyarat untuk berita Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Seorang pembaca berita RTM mendedahkan wanita berkenaan yang dikenali sebagai Tan Lee Bee di ruangan studio RTM. Menurutnya, Lee Bee merupakan antara yang paling ‘senior’ di dalam RTM dan difahamkan beliau sudah berkhidmat lebih 26 tahun di stesen tv berkenaan.
Tambahnya, terdapat lima orang jurubahasa isyarat yang berkhidmat di RTM dan kesemuanya boleh bertutur dengan baik.
Namun, di dalam video berdurasi pendek itu ramai yang perasan bagaimana cara Lee Bee berkomunikasi dengan orang lain. Disebabkan sudah terlalu biasa menggunakan bahasa isyarat sehingga bercakap secara normal pun masih menggunakan bahasa isyarat.
“Punya lama sampai cakap normal pun buat isyarat tangan.. Dah terbiasa” – Netizen
Bukan itu saja, ramai yang gembira kerana dapat mendengar suara Lee Bee kerana selama ini beliau hanya muncul di kaca televisyen sebagai jurubahasa isyarat.
Ramai yang memuji dan mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan beliau yang sudah lama menjadi jurubahasa untuk menyampaikan berita dalam isyarat tangan.
Ada juga yang mengimbau kenangan kerana sering melihat Lee Bee di kaca televisyen sejak kecil.
“Penyampai berita yang kita tengok dari kecil sampai besar tapi identitinya kita tak tau. Thank you for your service”