Pelakon dan juga produser terkenal, Raja Azmi tidak menyangka dia menjadi sasaran penggodam akaun media sosial Instagram hanya kerana menekan pautan yang diragui.
Raja Azmi atau nama sebenarnya Raja Azmi Raja Sulaiman,62, berkata dia pernah mendengar mengenai insiden media sosial selebriti digodam oleh individu yang tidak bertanggungjawab namun terkejut kerana kini dia pula telah menjadi mangsa jenayah siber itu.
Tampil bercerita dengan lebih lanjut mengenai insiden itu, Raja Azmi menjelaskan bahawa dia turut diperas ugut dengan sejumlah wang jika mahu akaunnya dikembalikan.
“Akaun saya kena hack Jumaat lalu, saya sebelum ini memang selalu berhati-hati dan tidak sewenang-wenang tekan link (pautan) yang diragui. Tapi hari itu saya terlupa dan kemudian tertekan link tersebut. Lepas itu baharu saya tahu akaun saya sudah digodam dan mereka terus tukar username dan password saya. Penggodam itu kemudian minta saya bayar duit padanya untuk dapatkan balik akaun tapi memang saya tidak layanlah permintaan dia.”
Berikutan itu, Raja Azmi telah segera membuat laporan polis agar individu itu dapat ditangkap dan tiada lagi mangsa-mangsa yang mungkin teraniaya dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ini.
Tambahnya lagi, tujuan dia membuat laporan polis adalah kerana dia bimbang jika penggodam itu membuat sesuatu yang tidak baik seperti menghantar gambar lucah kepada rakan-rakan Instagramnnya. Ini berikutan perkara seperti itu pernah terjadi ke atas salah seorang sahabatnya sama seperti yang berlaku ke atas dirinya kini.
Difahamkan juga dia turut membuat laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam usaha untuk mendapatkan kembali akses kepada akaun Instagram miliknya.
Mengakui bahawa dirinya berasa sedikit fobia dengan apa yang telah terjadi, Raja Azmi sempat menitipkan pesanan kepada semua orang di luar sana agar sentiasa berhati-hati dengan sebarang jenis penipuan dan jenayah siber.