Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu, kerajaan menerusi Perdana Menteri, Dato Sri Ismail Sabri ada mengumumkan beberapa inisiatif dan juga pelan bagi memperkasakan golongan wanita di negara Malaysia.
Memetik laporan NST, Ismail Sabri memberitahu bahawa pemerkasaan golongan wanita di negara ini akan terus menjadi salah satu agenda terpenting negara dan ia tidak semestinya harus melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Katanya, inisiatif bagi membawa wanita maju setanding kaum lelaki perlulah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi bagi membangun serta mengiktiraf sumbangan para wanita dalam setiap aspek pembangunan negara.
Antara 6 Inisiatif yang diperkenalkan kerajaan:
1.Membenarkan Norma Bekerja Dari Rumah bagi wanita yang kematian suami dalam tempoh yang bersesuaian.
2. Mewujudkan Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS)
3. Melantik sekurang-kurangnya seorang wanita sebagai ahli lembaga pengarah dalam sesebuah syarikat awam tersenarai. Ianya sudah dikuatkuasa pada 1 September dan syarikat lain dijangka menyusul pada 1 Jun 2023
4. Mengadakan Sambutan Hari Wanita pada setiap tahun, tidak kira di peringkat persekutuan mahupun negeri.
5. Memperkemas dan menguatkan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah bagi mempercepatkan proses penceraian dan tuntutan nafkah seumpamanya untuk yang teraniaya dalam rumah tangga.
6. Memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan di mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami dan membuat bayaran daripada akaun si suami kepada isteri sekiranya wujud tuntutan.
Diharap dengan pengenalan inisiatif-inisiatif seperti ini dapat membantu golongan wanita untuk terus maju ke depan dan membuka peluang yang lebih banyak tidak kiralah dari sektor ekonomi atau sebagainya.