Rasanya semua rakyat Malaysia dah tak sabar nak kembali kepada aktiviti kegemaran apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melabuhkan tirainya pada 9 Jun ini.
Antara aktiviti yang menjadi tumpuan ramai ialah memenuhi pantai di serata Malaysia yang sudah lebih 3 bulan hening tanpa pengunjung. Tambahan pula, negara ini memang dikelilingi dengan pantai dan laut, jadinya sudah pasti ramai yang rindu nak main dengan air.
Walaupun niat ingin berseronok, pelakon Tiz Zaqyah telah meluahkan harapan agar semua orang yang bakal ke pantai nanti supaya menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
Menerusi entri di Twitter itu, wanita tersebut meminta semua orang agar mengajar anak mereka supaya menghormati kebersihan dan kalau boleh membantu mengumpul sampah sekiranya kelihatan di pinggiran pantai nanti.
Menurut pengalamannya, dia berasa seram apabila teringatkan kawasan Tasik Dayang Bunting yang terjejas teruk dahulu dek sikap pandang sebelah mata rakyat Malaysia.
Bahkan ramai pengikut yang sepertinya bersetuju dengan pesanan yang dititipkan oleh Tiz Zaqyah dalam usaha untuk mengekalkan ekosistem serta flora yang terjaga dengan rapi.
Ada betulnya pesanan Tiz ini, kita jaga kebersihan pantai pun untuk kelangsungan hidup flora dan fauna pada masa akan datang kan?